Lebih 80 ribu
permohonan untuk menjadi guru, diterima institut pendidikan guru, setiap tahun.
Namun, hanya kira-kira 5 ribu permohonan
diluluskan.
Wartawan Pang Chinn Fei melaporkan, saringan ketat
dilakukan agar latihan diberi mampu melahirkan guru berkualiti.
Dan mulai tahun ini, tiada lagi guru tidak
terlatih ditempatkan di sekolah.
Sebelum ini, guru tidak terlatih diambil
bagi mengatasi masalah kekurangan guru di sekolah.
Namun, menurut rektor IPG, Datuk Haili Dolhan, ia
kini sudah diatasi.
Datuk Haili Dolhan, Rektor, Institut Pendidikan
Guru: "Kemungkinan mereka yang diambil mengisi kekosongan, sementara
menunggu guru terlatih, mereka tidak ada latihan secara rasmi, itu mungkin
menyebabkan persepsi orang kata, sesiapa saja boleh jadi guru, tetapi mulai
tahun ini, memang kita tidak ada mengambil guru2 tidak terlatih."
Sambil terus memartabatkan Bahasa Malaysia dan
memperkukuh Bahasa Inggeris, sejak 2010, IPG turut menambah guru Bahasa
Inggeris berkualiti dengan menggunakan jurulatih utama luar negara dan penutur
jati bahasa itu.
Latifah Mahamud, Pengarah, Sektor Hal Ehwal
Pelajar Institut Pendidikan Guru: "Guru2 yang lahir dari ipg, adalah guru2
baru, novice teachers jadi kita tidak perlu mengharap guru2 yang baru keluar
ini akan ada kemahiran yang telah dipunyai guru2 yang 15 tahun mengajar."
Bagi graduan yang baru menghabiskan program ijazah
sarjana muda perguruan, niat mereka jelas, mahu mencurahkan jasa kepada anak
bangsa.
Thilagam Birma, Graduan IPG: "Guru yang
kelahiran ipg sebenarnya bertaraf dunia, yang itu kita boleh lihat pada masa
akan datang, di mana kami bakal mengubah dunia pendidikan dengan mendidik anak
bangsa generasi akan datang dengan lebih bermutu."
Chong Yen Xie, Graduan IPG: "Kami mempelajari
psikologi kanak2 daripada perangai kanak2 kami dapat mengetahui apa masalah
kanak2 sebenarnya."
Mohd Haiful Insan Hussein, Graduan IPG: "Kami
dapat membina jati diri sebagai seorang guru yang akan memberi jasa secara
ikhlas kepada masyarakat."
Semua graduan IPG ini sudah mendapat tempat di
sekolah termasuk di kawasan pedalaman.
Pang Chinn Fei/ chinnfei@tv3.com.my: "Guru
berkualiti disifatkan bukan saja mahir dalam subjek yang diajar tetapi perlu
lengkap dengan pengetahuan ICT, lebih cerdik daripada anak murid, dan boleh
menjawab segala persoalan dibangkitkan. Lebih penting, guru perlu menunjukkan
contoh terbaik, dengan keperibadian dan sahsiah yang tinggi bagi memartabatkan
profesion ini. Pang Chinn Fei, TV3
Sumber : Buletin Utama TV3